Blog Details

  • Home
  • Cadangan Penarafan Bandar Pintar Malaysia diluluskan – KPKT

Cadangan Penarafan Bandar Pintar Malaysia diluluskan – KPKT

admin November 15, 2023 0 Comments

MBPN hari ini meluluskan cadangan Penarafan Bandar Pintar Malaysia, yang julung kali diperkenal melalui PLANMalaysia, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025. – Foto Facebook KPKT

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Bandar Pintar Negara (MBPN) hari ini meluluskan cadangan Penarafan Bandar Pintar Malaysia, yang julung kali diperkenal melalui PLANMalaysia, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan penarafan itu bertujuan mengiktiraf peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah melaksanakan inisiatif Bandar Pintar berpandukan indikator dalam Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019.

“Standard ini merupakan piawaian antarabangsa dan berdasarkan amalan terbaik yang telah disesuaikan dalam konteks Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, secara umumnya program Penarafan Bandar Pintar Malaysia terdiri daripada empat tahap iaitu Smart City Early Adopter, Developing Smart City, Leading Smart City dan Visionary Smart City.

Pada 2023, penarafan dimulakan dengan tahap permulaan bandar pintar iaitu Smart City Early Adopter secara sukarela khususnya kepada PBT yang telah bersedia dengan kriteria ditetapkan.

KPKT menyasarkan sekurang-kurangnya 61 PBT bertaraf Majlis Perbandaran ke atas mencapai status Smart City Early Adopter pada 2025.

“Senarai PBT yang berjaya mencapai taraf bandar pintar bagi Tahap 1 iaitu Smart City Early Adopter akan diumum oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 9 Nov 2023 bersempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia Tahun 2023 di Putrajaya,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan mana-mana PBT yang memperoleh taraf bandar pintar akan diberi keutamaan mendapat peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif bandar pintar yang akan membantu PBT terlibat mencapai peningkatan hingga ke tahap tertinggi iaitu Visionary Smart City.

“Penarafan bandar pintar ini akan dilaksanakan secara tahunan untuk memberi peluang kepada semua PBT seluruh negara,” menurut KPKT.

Mesyuarat MBPN telah dipengerusikan oleh Nga di Bangunan Parlimen pagi tadi.

MBPN merupakan platform bagi menetapkan dasar dan hala tuju strategik pembangunan bandar pintar di Malaysia selain menjadi medium perbincangan serta penyelesaian isu pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan pembangunannya di Malaysia.

SOURCE: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/cadangan-penarafan-bandar-pintar-malaysia-diluluskan-kpkt-441175