Blog Details

  • Home
  • Beberapa cadangan dikemuka, hasrat jadikan Labuan sebuah Smart City – Anifah

Beberapa cadangan dikemuka, hasrat jadikan Labuan sebuah Smart City – Anifah

admin January 26, 2024 0 Comments

LABUAN: Pengerusi Perbadanan Labuan Merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Anifah Aman berhasrat untuk menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai sebuah smart city atau bandar pintar dalam masa yang terdekat.

“Selaras dengan aspirasi YAB Perdana
Menteri, kami telah pun melancarkan Digital ID pada minggu lalu sebagai salah satu inisiatif digitalisasi kerajaan.

“Untuk menuju ke arah era digitalisasi, kita perlukan beberapa inisiatif yang akan mengubah lanskap pembangunan Labuan terlebih dahulu.

“Justeru, saya ingin menyampaikan beberapa cadangan yang boleh mentransformasikan Labuan menjadi setanding dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang lain,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan Labuan pada Khamis (7 Nov).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (dua kiri) bersama Senator Tan Sri Anifah Aman (kanan) semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra di Labuan pada Khamis.

Antara cadangan inisiatif yang dikemukakan, Anifah berkata, pertama, adalah pemerkasaan Jawatankuasa Eksekutif Perancang Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, jawatankuasa ini bertujuan untuk mengawalselia, merancang, menyelaras dan menasihati mengenai perkara berkaitan pemuliharaan, penggunaan dan pemajuan di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pengerusi Jawatankuasa ini adalah YAB Perdana Menteri sendiri selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas Wilayah Persekutuan Labuan.

“Namun, YAB Perdana Menteri boleh
mewakilkan kuasa Pengerusinya dan saya harap kuasa itu diwakilkan kepada Perbadanan Labuan.

“Ini kerana Pengerusi dari Perbadanan Labuan lebih mudah mendapat akses untuk mengetahui masalah, keadaan dan keperluan rakyat Labuan dan dapat memberikan input kepada Jawatankuasa dengan lebih cepat,” katanya.

Cadangan kedua, Anifah berkata, faedah cukai sebanyak 3 peratus dipanjangkan kepada lebih banyak jenis perniagaan bagi menarik minat pelabur sama ada dari dalam atau luar negara.

“Syarikat-syarikat kewangan “offshore” di Labuan hanya membayar cukai sebanyak 3 peratus manakala syarikat lain di Labuan membayar cukai sehingga 24 peratus seperti yang termaktub dalam Akta Percukaian 1967.

“Sekiranya faedah ini dipanjangkan kepada perniagaan-perniagaan lain, nescaya ramai pelabur akan membuka perniagaan di Labuan kerana mendapat insentif yang “competitive”,” katanya.

Manakala cadangan ketiga, beliau berkata, sebahagian daripada hasil kewangan yang diperolehi oleh Kerajaan di Labuan diberi kepada Labuan bagi tujuan pembangunan.

“Sebagai makluman, Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC) telah menyumbang lebih Dari RM1
billion hasil kewangan kepada kerajaan,” ujarnya.

Bagi cadangan keempatnya, adalah penyediaan Taman Pertanian Kekal untuk membantu usahawan muda serta menjamin keselamatan makanan.

“Ini boleh menjadi model perniagaan
startup untuk diceburi usahawan-usahawan muda, sekali gus akan mendatangkan manfaat kerana dapat menyelesaikan masalah pengangguran di samping menyediakan food security kepada penduduk Labuan.

“Untuk makluman umum, kadar pengangguran di Labuan adalah yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu 7.2 peratus.
(Pegangguran tertinggi adalah di Sabah sebanyak 7.5 peratus)

“Sungguhpun begitu, gross domestic product (GDP) per capita Labuan adalah yang kedua tertinggi di Malaysia, selepas Kuala Lumpur iaitu RM85,560.

“Apa yang kita minta hanyalah RM5 juta daripada RM100 juta insentif modal pembiayaan startup yang diumumkan Dalam Belanjawan 2024 untuk perniagaan berkaitan keselamatan makanan, alam sekitar dan kemasyarakatan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Anifah turut menggesa kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan pembinaan Jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah.

“Pembinaan jambatan tersebut akan menyediakan ease of logistics dan akan memudahkan urusan keluar masuk ke Labuan tanpa perlu bergantung kepada masa-masa yang ditetapkan oleh Perkhidmatan bot, feri dan kapal Terbang.

“Contohnya sekiranya terdapat kecemasan kronik yang memerlukan kepakaran tertentu pada waktu malam, rakyat Labuan dapat ke Sabah dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan feri yang tidak beroperasi pada sebelah malam.

“Pembinaan jambatan ini juga akan mengurangkan kos perniagaan kerana kos pengangkutan akan menurun. Ini akan mengurangkan harga barang yang memanfaatkan rakyat Labuan malah ramai peniaga daripada kawasan serantau akan turut berminat melabur dan membuka perniagaan di Labuan,” tambahnya.

Anifah berkata, sekiranya cadangan-cadangan ini dilaksanakan, beliau percaya Labuan akan terus membangun dengan pesat.

“I believe the people of Labuan will remember your contribution for generations to come,” katanya.

SOURCE: https://sabahmedia.com/2023/12/07/beberapa-cadangan-dikemuka-hasrat-jadikan-labuan-sebuah-smart-city-anifah/