Blog Details

  • Home
  • Projek digital Element X dengan pelaburan RM30 juta akan dibangunkan di Melaka

Projek digital Element X dengan pelaburan RM30 juta akan dibangunkan di Melaka

August 20, 2022 0 Comments

MELAKA, 20 Ogos – Sebuah projek digital swasta, Element X akan dibangunkan menerusi penjenamaan semula serta kerja-kerja menaik taraf bangunan Element Mall Melaka kepada Integrated Metaverse E-Sport Hub Resort yang melibatkan pelaburan bernilai RM30 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pembangunan Element X oleh Kumpulan Hatten, turut merangkumi pembinaan Arena X yang bakal menjadi pusat e-Sukan bertaraf antarabangsa terbesar di rantau ini.

Menurutnya, kerja-kerja retrofit berkaitan kini giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November depan.

“Beberapa produk baharu akan diperkenalkan di Element X menerusi kerjasama dengan beberapa syarikat antarabangsa terkemuka. Ini seperti Moonton Games yang terkenal dengan permainan Mobile Legends: Bang Bang, Focus Media Sports (Shanghai) Co. Ltd dan Kitamen.

“Ruang perniagaan di Element X berkeluasan lebih 500,000 kaki persegi dan dijangka mampu menarik nilai pelaburan hampir RM100 juta. Kerjasama strategik ini juga bakal menjana hampir 5,000 peluang pekerjaan untuk penduduk Melaka,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Pelancaran Smart Melaka Blueprint 2035 (SMB2035) serta kemudahan Asia’s First Metaverse Immersive Experience Mall dan PraPelancaran Smart Melaka International Conference 2022 di Banda Hilir di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pendidikan dan Teknologi Datuk Rais Yasin dan Pengarah Urusan Hatten Datuk Colin Tan.

Sulaiman berkata sebuah pusat pembangunan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) komersial akan turut dibangunkan di Element X oleh pihak swasta yang bakal dikenali sebagai Melaka Revo-STEM Center.

Mengulas SMB2035, beliau berkata ia merupakan dokumen strategik hala tuju Melaka ke arah Bandar Pintar dengan penekanan inisiatif pintar serta pemerkasaan data sebagai tunjang utama dalam meningkatkan perkhidmatan digital.

SMB2035 disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dengan kerjasama Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan turut berperanan sebagai panduan transformasi digital Melaka dengan menggabungkan pendigitalan, pentadbiran, perniagaan, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (RD&C) serta masyarakat dalam ekosistem yang lengkap.

“Fokus kerajaan negeri juga adalah melalui komponen Kerajaan Pintar dalam SMB2035 iaitu pembangunan dan pemerkasaaan platform dan kandungan digital serta aplikasi pintar bagi meningkatkan perkhidmatan digital yang merentasi sektor awam, swasta, industri dan rakyat,” katanya.

Sulaiman juga menyifatkan ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri yang telah merangka pembangunan digital menerusi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) di bawah Flagship 7: Pendidikan dan Teknologi Digital Melaka.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan pemeteraian kerjasama antara Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malasysia (MSCA) dengan Melaka ICT Holdings (MITH) dan Hatten Edge bagi pelaksanaan inisiatif jangka pendek dan pemacu perubahan yang digariskan dalam dokumen SMB2035.

— BERNAMA